Piala Sumbangsih: Kedah bertemu JDT 20 Januari

Oleh Staff Writer 7 Disember 2016 10
Piala Sumbangsih: Kedah bertemu JDT 20 Januari
Saingan Liga Malaysia 2017 akan bermula pada 20 Januari depan, dengan aksi Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
 
Pengesahan jadual sepak mula Liga Malaysia musim depan dibuat sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, selepas sesi perbincangan khas Liga Malaysia 2017, hari ini.
 
Saingan musim depan mengekalkan format pertandingan sama seperti musim ini, dengan saingan Piala Malaysia -- berlangsung serentak dengan saingan Liga Super dan Liga Perdana -- akan bermula pada awal Julai dan berakhir pada 28 Oktober.
 
Namun, saingan Liga Malaysia akan dihentikan selama tiga minggu pada Ogos kerana penganjuran Sukan SEA 2017.
 
“Dari segi penjadualan, kami cuba memastikan ada ruang dalam setiap perlawanan supaya tidak terlalu padat.

"Ketika penganjuran Sukan SEA pada Ogos, kami perlu menghentikan saingan liga selama tiga minggu dan menyebabkan perlawanan yang banyak pada Julai,” katanya. 
 
FMLLP membuat keputusan untuk mengekalkan format musim ini selepas sebahagian besar wakil pasukan hari ini memilih untuk mengekalkannya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen