Johor Darul Ta'zim (JDT) dinobatkan sebagai juara Piala Sumbangsih, Piala Sultan Ahmad Shah, buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Gol daripada Safawi Rasid dan Natxo Insa dalam babak berbeza memastikan skuad kendalian Benjamin Mora itu turut meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Malang buat Kedah apabila kehilangan penjaga gol utama mereka, Ifwat Akmal Chek Kassim, susulan satu pelanggaran dengan Safawi.

Dua percubaan awal daripada Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera yang terkena palang menjadi amaran bahawa JDT akan memulakan dominasi mereka dalam perlawanan itu.

Kedah turut memberikan reaksi menerusi lambungan Tchetche Kipre yang turut hinggap di palang gol JDT pada minit ke-19.

Berpunca daripada satu sepakan penjuru Cabrera, Afiq Fazail memanfaatkan bola yang gagal di keluarkan pertahanan lawan untuk melakukan hantaran ke arah Safawi sebelum pemain yang pernah dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense, itu melakukan percubaan yang terbias untuk menewaskan Ifwat Akmal pada minit ke-35.

JDT mengekalkan kelebihan mereka sehingga waktu rehat, namun selepas lima minit perlawanan bersambung, Safawi hampir menggandakan jaringan peribadinya tetapi pertembungannya dengan Ifwat Akmal menyaksikan penjaga gol itu terpaksa diusung keluar kerana kecederaan dan digantikan dengan Sharil Sa'ari.

Belum sempat Sharil memanaskan badannya di atas padang, gawangnya sudah dibolosi apabila Natxo Insa memanfaatkan hantaran ke belakang Fernando Rodriguez sebelum melepaskan satu rembatan leret bagi menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-68.

Safawi kemudian turut terpaksa dikeluarkan pada minit ke-78 tetapi tiada sebarang tentangan dapat diberikan Kedah untuk JDT mempertahankan gelaran itu buat tahun ketiga berturut-turut.