Hanya rayuan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mampu mengurangkan hukuman. Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang tampil menjelaskan bahawa Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga tiada kuasa untuk mengarahkan hukuman tersebut dikaji semula.

Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM semalam mendapati Pahang bersalah kerana pelanggaran obligasi ahli di bawah Artikel 14, Statut FAM kerana gagal mematuhi arahan untuk menyertai Piala AFC.

Menurut Hamidin, hukuman penggantungan selama dua tahun dikenakan terhadap Pahang daripada memohon Lesen Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) andai persatuan bola sepak negeri itu enggan membuat rayuan.

Walaupun Tunku Ismail ada mengeluarkan titah rasmi menuntut Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM mengurangkan hukuman ke atas Pahang, ia masih tidak memadai.

Hamidin menegaskan Jawatankuasa Tatatertib dan Rayuan FAM masih perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Pahang mesti membuat rayuan. (Hukuman dikaji semula) itu adalah pandangan peribadi presiden FAM.

"Tetapi, Pahang mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak membuat rayuan," kata Hamidin ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2017, malam tadi.

Dalam masa sama, pemerhati bola sepak negara, Khalid Ali, berasakan tindakan ke atas PBNP itu adalah tidak wajar.

Bekas pemain negara itu menegaskan FAM dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sepatutnya memainkan peranan penting dalam membantu setiap pasukan menyelesaikan masalah berbangkit.

"FAM tidak sepatutnya membuat keputusan sebegitu rupa setelah menarik balik kelayakan Kedah lalu menawarkan tempat kepada pasukan lain yang berasakan mereka tidak layak untuk beraksi dalam Piala AFC," katanya.

Susulan daripada tindakan itu juga, Khalid menyuarakan kebimbangan terhadap imej bola sepak Malaysia yang diakuinya mempu mengundang suasana tidak sihat dalam kalangan penyokong tanah air.

"Nanti ada orang kata ini adalah perasaan iri hati dan balas dendam. Ini akan merosakkan lagi bola sepak tempatan," tambah Khalid.

Mengenai Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga M), Hamidin mengakui semuanya bergantung kepada impak penggunaannya dalam Piala Dunia Russia.

"Bergantung kepada (perbincangan) selepas Piala Dunia tahun hadapan. Kami akan mendapatkan maklum balas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC sebelum kami memperkenalkan VAR.

"LaLiga juga akan memperkenalkan VAR pada musim hadapan dan kami akan mengkaji kekangan dan maklum balas penggunaannya," ujar Hamidin lagi.