Peter yakin skuad mantap dapat dibentuk

Oleh Willie Jude 28 November 2019 2454
Peter yakin skuad mantap dapat dibentuk
Walaupun belum membuat sebarang pengumuman mengenai barisan pemain yang akan membawa cabaran Sabah dalam Liga Super musim depan, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, yakin skuad Tambadau itu akan dapat dibentuk sebelum bermulanya musim baru. 

Katanya, pihak pengurusan pasukan itu sedang giat mencari pemain-pemain yang berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan Sabah, namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan SAFA. 

"Memang kami akui perebutan pemain berkualiti itu agak sukar dan saya boleh katakan kebanyakan pemain berkualiti yang bermain di sekitar Asia mempunyai permintaan yang agak tinggi. 

"Ada penyerang berkualiti yang meminta bayaran bukan sahaja mencecah AS$30,000 (RM125,200) sebulan, malah sehingga AS$50,000 (RM208,670) sebulan. 

"Bagaimanapun, saya percaya kami akan membawa masuk pemain berkualiti dan setakat ini, beberapa pemain termasuk daripada semenanjung, Indonesia dan Korea Selatan telah dikenal pasti," katanya ketika ditemui dalam majlis makan malam amal SAFA di Kota Kinabalu, malam tadi.

Tambahnya, beberapa pemain dari luar negara telah datang ke Kota Kinabalu untuk mencuba nasib dalam ujian pemilihan sebelum ini.

"Sepanjang sesi pemilihan itu, kami melihat seorang pemain dari Brazil memiliki kualiti, namun semuanya akan diputuskan kemudian dan mudah-mudahan skuad Tambadau lengkap akan dibentuk selewat-lewatnya bulan depan," katanya. 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen