Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, tidak menganggap pertukaran venue Liga Super di antara pasukannya dan Kedah ke Stadium Shah Alam pada 25 Februari ini memberi tekanan buat anak buahnya sebagai pendahulu liga.

Bagi Rajagobal, apa yang penting adalah mereka lebih memikirkan corak permainan sendiri daripada mengambil kisah tentang kekuatan lawan apabila berdepan Kedah.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga enggan memberi tekanan kepada pasukannya untuk mengekalkan kedudukan pendahulu liga.

"Beraksi sebagai tuan rumah memberikan kelebihan buat kami tetapi apa yang penting adalah pasukan kekal konsisten dalam setiap perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan pertukaran gelanggang aksi pasukannya dan Kedah ke Shah Alam dengan PKNS dinamakan sebagai tuan rumah.

Aksi di antara kedua-dua pasukan itu sepatutnya dilangsungkan di Stadium Batu Kawan pada 23 Februari ini kerana Stadium Darulaman tidak dapat digunakan pada hari tersebut.

"Kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat selepas Stadium Darulaman tidak dapat digunakan pada 23 haribulan dan tarikh 25 Februari dipilih sebagai venue bagi perlawanan PKNS dan Kedah," ujar Mahfizul.