Pertikaian keputusan aksi JDT-PDRM akan terlerai

Oleh Staff Writer 2 November 2016 4
Pertikaian keputusan aksi JDT-PDRM akan terlerai
Pertikaian terhadap status perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PDRM pada 16 Ogos lalu tampak bakal terlerai apabila difahamkan Persatuan Bola Sepak PDRM tidak akan meneruskan bantahan mereka.

Sebelum ini, pertikaian timbul apabila JDT didakwa menurunkan penyerang import, Juan Martin Lucero, yang sudah mengumpul tiga kad kuning dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan beliau dimaklumkan secara tidak rasmi mengenai tindakan PDRM untuk tidak meneruskan tuntutan mereka.

“Saya telah diberitahu secara tidak rasmi bahawa PDRM telah membuat sedikit perubahan dalam bantahan mereka. Bagaimanapun, saya perlu menunggu notis rasmi daripada FAM,” katanya.

Cubaan Nadi Arena untuk mendapatkan pengesahan daripada pengurusan PDRM gagal selepas pegawai persatuan itu enggan memberi sebarang ulasan berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, dilihat sudah mula membentuk barisan untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim depan, dengan hanya 10 pemain musim ini akan dikekalkan.

Dalam pada itu, PDRM turut mengadakan sesi pemilihan pemain secara terbuka hari ini untuk memperkuatkan pasukan bagi saingan musim depan.

“Satu tugas yang berat, tersingkir daripada Liga Super ke Liga Perdana. Saya melihat ada beberapa pemain yang semakin matang di atas padang dan diharap mereka dapat membantu pasukan buat musim hadapan,” kata Fauzi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen