Pertemuan di antara Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, dan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini dijangka menjadi penentu sama ada segala permasalahan dalam persatuan itu mampu dileraikan dengan baik atau sebaliknya.

Bagi pemerhati bola sepak, Asmawi Bakiri, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS perlu menghormati segala kata putus Azmin dalam pertemuannya bersama Mokhtar.

Isu peruntukan kewangan untuk skuad Selangor bagi musim 2017 dijangka menjadi topik utama perbincangan.

"Kita sedia maklum kuasa penuh terletak di tangan presiden dan seharusnya apa sahaja keputusan presiden, setiap pihak perlu hormati," kata Asmawi.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, tidak mengumumkan sebarang peruntukan kerajaan negeri buat FAS menghadapi saingan Liga M musim depan, sekaligus memberi bayangan persatuan itu perlu mencari dana sendiri.

Situasi itu juga menyaksikan beberapa pemain tonggak Selangor musim ini seperti Ahmad Hazwan Bakri, Nazmi Faiz Mansor dan Azmi Muslim memilih haluan baru bersama pasukan lain untuk saingan musim depan.

"Ia adalah hak pemain itu sendiri. Apa yang berlaku terhadap Selangor, ini menjadi punca pemain keluar mencari majikan yang lebih stabil dan boleh menyelamatkan perjalanan karier mereka," tambah Asmawi.