Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, memberi reaksi positif selepas pertemuan hampir tiga jam bersama Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, hari ini.

Meskipun enggan mendedahkan butiran mengenai pertemuan itu, Mokhtar tampak positif apabila ditanya sama ada Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor, akan memperuntukkan dana untuk skuad Selangor.

Azmin sebelum ini tidak mengumumkan sebarang peruntukan buat skuad itu dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Apa yang saya difahamkan, pihak FAS telah menghantar bajet mereka untuk tahun 2017. Perkara itu sedang dipertimbangkan," kata Mokhtar.

Namun, Mokhtar mengakui Azmin turut mahu Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS mempertimbangkan beberapa perkara dalam menyelesaikan kemelut dalaman FAS.

Bagi Mokhtar, kemelut dalaman FAS mampu dileraikan secara baik jika semua pihak mengutamakan kepentingan bola sepak negeri Selangor.

"Saya fikir, kalau kedua-dua pihak bertolak-ansur dan memikirkan kepentingan FAS, tiada masalah.

"Kalau kita fikirkan mengenai peribadi, mungkin itu mendatangkan masalah. Dua-dua pihak ada jalan keluar tetapi mestilah ikhlas dan jujur," tambahnya.

Kemelut dalaman FAS menyaksikan persiapan pasukan juara 33 kali Piala Malaysia itu berkecamuk.