Pertahanan kanan Harimau Malaysia, Matthew Davies, bersedia memberi cabaran kepada pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, Rizal Ghazali, dalam kesebelasan utama negara.

Sebelum ini, kedudukan Davies seperti tidak dicabar di posisi pertahanan kanan bersama skuad negara.

Namun, kehadiran Rizal yang mempamerkan peningkatan mendadak bersama Kedah selain diberi kesempatan beraksi ketika menentang Singapura pada 7 Oktober lalu, membuatkan kedudukan Davies kini terancam.

Menganggapnya sebagai persaingan sihat, pemain kelahiran Australia itu tetap yakin perebutan dalam kesebelasan utama masih terbuka di antara dia dan Rizal.

"Persaingan adalah sesuatu yang menyihatkan. Saya berharap kami saling memberikan saingan yang baik untuk membantu meningkatkan keupayaan kami.

"Menyedari tiada jaminan dalam kesebelasan utama, kami perlu beraksi mantap bagi setiap perlawanan.

"Ini satu perkembangan baik untuk pasukan," kata pemain Pahang tersebut.

Kurang tiga minggu lagi menjelang sepak mula Piala AFF Suzuki, Davies mengakui debaran di kalangan pemain semakin memuncak.

Tidak kisah dengan apa jua tanggapan peminat, dia menyimpan impian untuk membawa pasukan negara melangkah jauh biarpun dicabar Myanmar dan Vietnam di peringkat kumpulan.

"Kami memiliki peluang baik untuk berdepan pencabar-pencabar kami. Kami perlu kompetitif dan mampu memberikan saingan melebihi jangkaan.

"Kami akan menghadapi cabaran sengit kerana Vietnam merupakan sebuah pasukan yang bagus, Myanmar pula akan beraksi di depan penyokong sendiri.

"Ini merupakan kejohanan yang sukar secara keseluruhan, saya tidak sekadar merujuk kepada peringkat kumpulan yang dianggap mudah."