Pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, mengakui segala perancangannya seakan-akan tidak menjadi apabila dibelasah Kedah 5-0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Kelantan turun dengan misi mengulangi kejayaan menumbangkan Lang Merah 3-1 dalam aksi Piala Malaysia minggu lalu di Kota Bharu di samping menamatkan rentetan tiga kekalahan dalam saingan liga.

Bagaimanapun, Kelantan dilanda mimpi ngeri apabila Kedah menguasai permainan sebaik perlawanan bermula.

Dua gol Ken Ilso Larsen dan Sandro da Silva serta satu gol daripada Arif Farhan melenyapkan harapan The Red Warriors yang terpaksa akur dengan kekalahan keempat berturut-turut.

"Permainan Kelantan malam ini langsung tidak menjadi. Kami terlalu beri Kedah ruang yang banyak untuk menguasai permainan," ujar Zahasmi.

Sementara itu, pengendali Kedah, Nidzam Azha Yusoff, lega tidak dikecewakan buat kali kedua berdepan lawan sama dalam tempoh dua minggu.

"Persembahan yang mantap malam ini (malam tadi). Kita dapat lihat perbezaan ketara berbanding ketika aksi di Kota Bharu di mana pemain terpaksa mengharungi perjalanan hampir lapan jam," katanya.