Cadangan beberapa pihak berkaitan penambahan jumlah pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super pada musim depan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata usah terburu-buru dalam membuat keputusan, sebaliknya pihak yang terlibat harus memikirkan pelbagai implikasinya.

"Kalau hendak membanyakkan pasukan untuk bersaing dalam Liga Super pada musim depan, kita perlu lihat dari segi kualiti.

"Mana-mana pasukan dalam Liga FAM boleh naik ke Liga Perdana atau Liga Super, tetapi apakah mereka boleh bersaing atau tidak?"

Tegasnya, tidak salah untuk memiliki lebih banyak pasukan tetapi pada waktu ini kos mengurus pasukan telah menjadi semakin mahal.

"Kalau pasukan daripada Liga FAM ini naik, tidak ada jaminan mereka akan selamat dan kekal.

"Itu sahaja yang perlu difikirkan," katanya ketika ditemui di Kuching selepas mengadakan sesi Dialog TN50 bersama-sama belia pelbagai etnik.

Beliau mengulas cadangan beberapa persatuan negeri agar jumlah pasukan yang bertanding dalam Liga Super dinaikkan daripada 12 kepada 14 pasukan.

Pada majlis yang sama, Khairy turut memberitahu bahawa bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berhubung cadangan menukar Sekolah Menengah Kebangsaan Demak Baru di Petra Jaya, Kuching sebagai Sekolah Sukan Malaysia.

"Difahamkan sekolah sudah ada dan apa yang perlu ialah menambah bangunan asrama bagi memenuhi piawaian sekolah sukan.

"Cadangan menukar sekolah tersebut dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, melalui menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, memandangkan sekolah tersebut terletak bersebelahan dengan Kompleks Sukan Sarawak," tambahnya.