Aksi mantap seperti ketika menumpaskan Petaling Jaya City (PJC) FC di tempat lawan,
Jumaat lalu, dituntut daripada pemain Perak apabila melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium Perak, malam esok.


"Saya berharap pemain mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika meraih kemenangan ke atas PJC itu.

"Kami perlukan mata penuh daripada perlawanan ini bagi mengukuhkan kedudukan.

"Saya berharap pemain meneruskan rentak dan memberi persembahan terbaik mereka malam esok," kata ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Walaupun Perak menang tipis melalui jaringan tunggal Ronaldo Henrique Silva, namun Durakovic gembira dengan aksi serta perwatakan mantap ditunjukkan anak buahnya dalam perlawanan penuh debaran itu.

"Mereka bermain dengan penuh disiplin serta bekerja keras sebagai satu unit," tegasnya.

Bagaimanapun, jurulatih itu mengingatkan pemain Perak supaya tidak bersikap terlalu yakin untuk pertemuan dengan Terengganu kerana lawan bukan calang-calang pasukan.

Malah, Durakovic berkata keupayaan Terengganu bangkit mengikat Melaka 3-3 di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu harus menimbulkan kesedaran kepada pemain Perak akan kemampuan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu.

Apapun, jurulatih itu mampu menghela nafas lega kerana akan mendapat kembali pemain tengah, Leandro Dos Santos, yang tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan kerana penggantungan.

"Leandro boleh beraksi semula malam esok. Kemampuan bahagian tengah kami sudah pasti kembali ke asal," katanya.