Perak, Terengganu nafi hadapi masalah gaji

Oleh Bernama 23 Mac 2020 1104
Perak, Terengganu nafi hadapi masalah gaji
Perak dan Terengganu FC mengesahkan tidak berdepan masalah pembayaran gaji pemain dalam masa terdekat walaupun Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan bagi membendung penularan COVID-19.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri, memberi jaminan bahawa pemain tidak akan berdepan masalah tunggakan gaji memandangkan kantung pasukan masih di tahap terbaik.

Dia berkata ketiadaan hasil penjualan tiket sepanjang tempoh penangguhan itu tidak memberi kesan besar kepada kewangan pasukan sekali gus menepis dakwaan skuad The Bos Gaurus berdepan masalah berkaitan pendapatan pasukan dalam tempoh ‘bertenang’ itu.

"Setakat ini, kedudukan kewangan pasukan masih macam biasa, malah dana yang kami ada mencukupi sehingga akhir musim dan tiada isu gaji pemain akan terjejas. Kami dibantu oleh pelbagai sumber tajaan, jadi ketiadaan pendapatan daripada penjualan tiket tidak memberi kesan besar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

"Cuma, andai kata kalau saingan liga terpaksa dilanjutkan ke Disember atau Januari (2021), perkara itu mungkin ada beri kesan dan kami perlu fikirkan cara terbaik mendapatkan bajet tambahan." 

Saingan Liga Malaysia ditunda sejak 16 Mac lalu dan MFL selaku badan pentadbir liga tempatan melarang kesemua pasukan daripada mengadakan sebarang latihan dan perlawanan persahabatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Dalam masa sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, berkata pada masa ini semua penaja termasuk kerajaan negeri akan terus memberi komitmen dalam pembayaran gaji kepada pemain.

Dia menjelaskan penularan wabak COVID-19 tidak memberi kesan kepada Terengganu yang akan terus komited menjaga kebajikan pemain sehingga saingan Liga-M bersambung.

"Saya tidak pasti kenapa Terengganu dikaitkan dalam isu ini sedangkan kami sendiri sudah mendapat sokongan yang cukup baik daripada kerajaan negeri, syarikat-syarikat GLC (milik kerajaan negeri Terengganu) dan penaja utama kami sendiri, Red One," katanya.

"Mereka tidak ada pun cakap akan menarik balik tajaan ekoran liga ditangguhkan kerana COVID-19 dan sokongan yang mereka berikan adalah sehingga akhir musim ini.

"Soal jualan tiket pula tidak memberi kesan besar kepada kami, malah sebelum ini ia hanya digunakan untuk menampung kos perbelanjaan pada hari perlawanan seperti pembayaran elaun kepada pengadil dan petugas keselamatan seperti RELA."

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen