Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, menuntut persembahan konsisten pasukannya dan berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila bertemu Kelantan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, malam esok.

Shahrul yakin rakan sepasukannya sedar bahawa mereka perlu mengejar misi mata penuh bagi menebus kehampaan tumpas 0-2 kepada PKNS FC di Lumut dalam perlawanan terakhir, sebelum ini

"Kami tidak mahu tercicir mata jauh dengan pasukan lain. Tiga perlawanan telah dilalui. Menang dan seri sekali, kalah pun sekali. Perlu tingkatkan usaha dan lebih berdisplin.

"Kekalahan di tangan PKNS memang menyakitkan. Jadi, kami mahu bangkit. Kami perlu usahakan kejayaan dalam perlawanan selepas ini supaya berada dalam kelompok atasan," ujar Shahrul.

"Bertemu dengan Kelantan untuk kali pertama musim ini pasti sukar kerana mereka dibarisi pemain-pemain baru.

"Lagipun, saya menjangkakan moral pemain The Red Warriors berada di tahap tinggi selepas langkah drastik pengurusan memecat ketua jurulatih selepas hanya tiga perlawanan, membuktikan mereka serius untuk mendapatkan keputusan yang baik."