Juara Piala Malaysia, Perak, menafikan pengguguran trio Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz Biten Court Junior, daripada skuad musim depan.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata trio itu masih kekal bersama pasukan The Bos Gaurus.

"Tidak betul dakwaan bahawa Perak menggugurkan mereka. Saya menafikan khabar angin itu.

"Dari mana mereka mendapatkan berita itu?" katanya mengulas dakwaan berkenaan.

Adly dilantik semula sebagai pengurus pasukan Perak oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, malam tadi.

Adly mengesahkan Perak sudah mendapatkan khidmat bek tengah PKNS FC, Zachary Anderson, dan masih berunding untuk mendapatkan seorang lagi awang import.

Beliau enggan mendedahkan identiti pemain itu kerana tidak mahu menjejaskan usaha yang sedang dilakukan.

Perak sebelum ini dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli.

Bagaimanapun, pemain itu dikatakan meminta bayaran terlalu tinggi yang menyebabkan usaha mengikat bekas penyerang PKNS FC itu tertangguh.