Syarat yang dikenakan terhadap Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi adalah peraturan biasa dikenakan kepada semua pemain yang menyarung jersi Perak dalam kancah Liga Malaysia 2019.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata ia berhubung terma yang ditetapkannya bagi semua pemain kendaliannya musim depan, terutama membabitkan soal kontrak.

"Terma saya tetapkan itu adalah untuk kesamarataan semua pemain dalam pasukan Perak supaya tidak ada perasaan berbelah-bagi yang tidak bersesuaian antara pemain.

"Pemain yang saya jaga ini adalah sama rata dari segi kontrak dan apa jua berkenaan dengan pemain," katanya mengulas kenyataan Shahrel Fikri mengenai punca penangguhannya membuat keputusan menyertai Perak gara-gara syarat dikenakan.

"Setakat ini, pasukan kami sudah lengkap, cuma ada satu dua pemain lagi yang kita sedang berbincang, terutama Shahrel. Kami memang berbesar hati ingin menjemputnya bersama pasukan Perak untuk mengharungi saingan musim depan.

"Ia masih dalam proses perbincangan,. Saya rasa dalam masa terdekat, kita akan dapat persetujuan antara Shahrel dengan PAFA dan peluangnya untuk menyertai Perak saya rasa amat cerah, cuma ada sedikit permasalahan yang perlu diselesaikan," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan penjaga gol pasukan Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy,di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh hari ini.

Menurut Adly Shah, Perak menyusun perancangan dan persediaan rapi bagi mengharungi saingan musim depan, termasuk cabaran kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Adly Shah berkata pihaknya sudah berbincang dengan jurulatih, Mehmet Durakovic, tentang persediaan yang diperlukan bagi menghadapi musim depan dan yakin skuad The Bos Gaurus akan menjadi satu pasukan yang mantap untuk mengharungi kesemua pertandingan.

Ditanya penggunaan hanya empat pemain import, beliau berkata perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Presiden PAFA yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Kami tidak akan buat keputusan terburu-buru, sebaliknya kami akan cuba memastikan pemain import kelima yang akan diambil itu adalah berbaloi di mana sasaran (pemain) itu sudah ada dan presiden akan buat keputusan serta umumkan dalam masa terdekat membabitkan kuota pemain Asia itu," katanya.