"Saya rasa ini senyuman pertama saya sepanjang minggu ini."

Demikian seloroh pengendali Perak, Mehmet Durakovic, yang mengharungi minggu perit sebelum menamatkan perlawanan Liga Super di Ipoh, malam tadi, dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas UiTM manakala rakan sejawatnya, Frank Bernhardt, kecewa sambil menyifatkan segalanya sebagai tidak memihak buat anak buahnya ketika bertandang ke Ipoh.

Biarpun The Bos Gaurus terpaksa berhempas pulas untuk meraih tiga mata hasil jaringan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-4, ia sudah cukup buat jurulatih dari Australia itu tersenyum lebar ketika memasuki bilik sidang media.

Ia kemenangan pertama tuan rumah sejak liga kembali bersambung 28 Ogos lalu, sekali gus melonjakkan kembali anak buahnya ke tangga kedua liga.

Mehmet turut gembira dengan prestasi beberapa pemain muda seperti Muhammad Farid Khazali dan Adib Raop yang mampu menggalas tanggungjawab masing-masing berikutan beberapa tonggak masih dibelenggu kecederaan.

"Kami akan terus pandang ke depan.

"Kami berlatih dengan begitu gigih setiap minggu malah dalam sesi latihan dan mesyuarat pasukan sekalipun, pemain mempamerkan semangat untuk membuktikan bahawa malam itu (dibelasah Johor Darul Ta'zim 1-7) bukanlah Perak yang sebenar, sebaliknya malam ini adalah Perak yang sejati," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Buat Bernhardt, dia berasakan UiTM tidak sepatutnya tewas berdasarkan jumlah peluang yang dimiliki anak buahnya.

Setiap mata amat penting memandangkan jarak antara setiap pasukan tidak jauh beza, justeru pakar taktikal Jerman itu mahu mengelak daripada terjerumus ke kelompok bawahan.

"Kami tidak sepatutnya kalah di sini. Jika kami dapat menyumbat satu gol, tentulah ada sesuatu yang kami boleh raih.

"Saya sudah katakan bahawa kami memerlukan lima mata lagi untuk menjamin kedudukan selamat.

"Kini ada empat lagi baki perlawanan," katanya.