Juara Piala Malaysia, Perak, mengintai khidmat tonggak pertahanan PKNS FC, Zachary Michael atau dikenali sebagai Zac Anderson bagi memantapkan bentengnya untuk musim 2019.

Pengurus pasukan, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, berkata pemain berusia 27 tahun itu adalah antara yang disenaraikan oleh jurulatih, Mehmet Durakovic.

Pengambilan Anderson semestinya bagi menggantikan Jad Noureddine selaku bek tengah.

"Kami cuba mendapatkan khidmatnya. Jika kena dan sesuai dengan bajet, bolehlah kami ambil dia," katanya.

Yadzan yang juga pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata beberapa pemain kebangsaan juga ada menghubunginya bagi mengadakan perbincangan mengenai kedudukan mereka bersama pasukan.

"Kami ada berbincang dan pemain menyatakan permintaan mereka.

"Sebagai pemain kebangsaan, sudah tentulah mereka meminta kenaikan gaji. Itu biasalah," ujarnya.

Apapun, Yadzan berkata beliau tidak boleh memberikan jawapan, sebaliknya perlu merujuk kepada majlis PAFA kerana ia membabitkan kewangan.

"Saya tidak boleh memandai-mandai buat keputusan sendiri tanpa persetujuan ahli majlis," katanya.