Juara Piala Malaysia, Perak, mengikat khidmat tonggak pertahanan PKNS FC, Zachary atau "Zac" Anderson, bagi memantapkan bentengnya untuk musim 2019.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata pemain berusia 27 tahun itu sudah memeterai kontrak selama semusim dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Pengambilan Anderson ialah bagi menggantikan pemain Lubnan, Jad Noureddine, selaku bek tengah.

Begitupun, pengambilannya bergantung kepada keputusan pemeriksaan kesihatannya kerana
jika gagal ujian kesihatan kontrak terbatal dengan sendirinya.

"Kita ikat dia oleh kerana dia sudah berada di Ipoh, " kata Adly selepas mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain yang akan menyarung jersi The Bos Gaurus musim 2019 di Pejabat PAFA, hari ini.

Katanya, perjanjian dengan Anderson dibuat secara situasi menang-menang agar tidak ada pihak yang kerugian nanti.

"Kontrak dibuat agar tidak hanya menguntungkan pemain, sebaliknya kepentingan persatuan juga dipelihara," katanya.

Menurut Adly Shah, beliau juga sedang mengadakan perbincangan dengan pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC serta penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Muhammad Hafiz Ramdan.

Turut kelihatan menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan Adly ialah penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Mohd Idris Ahmad dan Mohd Hafiz Kamal sertai beberapa pemain muda skuad Piala Presiden yang akan diserapkan dalam pasukan utama.

Dalam perkembangan lain, Adly Shah menafikan Perak akan mengambil khidmat penyerang PKNS FC, Faris Ramli.

"Itu hanya khabar angin. Ia tidak benar. Kami ada calon lain," katanya.