Juara Piala Malaysia 2018, Perak, dibenar menggunakan padang di Chepor untuk tujuan latihan bagi membuat persiapan awal bagi musim depan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata padang yang terdiri daripada satu padang sintetik dan satu padang rumput asli itu sudah lama siap, bagaimanapun ia tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Kerja-kerja pemasangan dan penyambungan elektrik ke bangunan serta lampu limpah sedang dalam proses.

"Namun, tiada masalah untuk berlatih pada waktu siang," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata dua padang itu terletak bersebelahan lapang sasar yang baru dibina sempena Sukan Malaysia (Sukma) Perak, September lalu.

Katanya, pembinaan padang itu tiada kaitan dengan temasya dwi-tahunan itu dan dibuat di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI).

"Tidak timbul masalah padang latihan untuk Perak yang dialami selama ini dengan adanya dua padang itu.

"Perak juga tidak akan menghadapi masalah jika beraksi di padang sintetik," katanya.

Menurutnya, padang sintetik itu hanya boleh digunakan untuk latihan manakala padang rumput untuk mengadakan perlawanan kerana dibina mengikut spesifikasi antarabangsa.

Malah, lampu limpah juga tidak cukup terang untuk perlawanan diadakan pada sebelah malam.