TERENGGANU FC 1 PERAK 3

Kepulangan Terengganu FC (TFC) ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas tiga tahun dicemari dengan kekalahan 1-3 kepada Perak dalam aksi pembukaan Liga Super, malam ini.


Jaringan pembukaan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-18 gagal dipertahankan TFC sebaliknya The Bos Gaurus lebih garang di depan 25,000 penyokong tuan rumah.

Bermula sepakan percuma Shahrul Saad yang mengenai tiang pada minit ke-11 disusuli rembatan deras Shahrel Fikri Fauzi mula membayangkan penguasaan Perak.

Shaakhmedov, begitupun terlebih dahulu memecahkan kebuntuan hasil voli menarik dari dalam kotak penalti untuk menggamatkan Stadium Sultan Mizan pada minit ke-18.

Pintu gol TFC hampir dibolosi mujur penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim, menggunakan kakinya untuk menyelamatkan percubaan Guilherme De Paula (m-34) dari jarak dekat.

Hasrat Perak mengikat kedudukan sebelum rehat berhasil melalui Guilherme De Paula pada minit ke-41 yang menyudahkan penalti apabila dia dijatuhkan Arif Fadzillah Abu Bakar.

Tujuh minit selepas rehat, TFC dikejutkan gol kedua Perak menerusi tandukan kemas Shahrul yang menyambar sepakan sudut Thierry Chantha Bin.

Kemasukan D. Saarvindran menghidupkan serangan TFC dengan hantarannya singgah di kaki Shaakhmedov namun usaha pemain Uzbekistan itu tersasar pada minit ke-67.

Kemenangan Perak dilengkapkan Guilherme pada minit ke-79 selepas dia menghukum kesilapan Nasir Basharuddin sebelum sepakan leretnya menewaskan Rahadiazli.

Usaha TFC mempertaruhkan Darren Lok di penghujung aksi pula sudah terlewat untuk menghalang kekalahan 1-3 sekaligus memulakan kempen dengan langkah kiri.

Keputusan lain:

PAHANG 1 SELANGOR 2

UITM 0 MELAKA 2

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)