PERAK 3 TERENGGANU 1

Perak meneruskan rentak kemenangan apabila membaham Terengganu FC 3-1 di Stadium Perak, sebentar tadi untuk mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.


Dengan kemenangan tersebut, anak buah Mehmet Durakovic itu melonjak ke tangga kelima seketika kerana Melaka tidak beraksi malam ini.

Apapun, Perak sepatutnya boleh menang dengan jurang lebih besar jika penyerangnya memanfaat lebih sedozen peluang.

Terengganu, yang tampil berbekal kejayaan bangkit mengikat Melaka 3-3, Sabtu lalu walaupun ketinggalan 3-1 pada satu ketika, cuba memberikan saingan.

Begitupun, kerakusan anak buah Nafuzi Zain itu memakan duri apabila Dechi Marsel N'Guessan diperintahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-27.

Bermula detik itu, keruntuhan Sang Penyu bermula apabila Shahrul Mohd Saad membuka jaringan tuan rumah dengan menanduk masuk hantaran lintang Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-34.

Walaupun Terengganu berhasil menyamakan kedudukan, malangnya Tcheche Kipre dihukum ofsaid pada minit ke-40.

Kedudukan Perak sepatutnya bertambah kukuh apabila menerima sepakan penalti tetapi sepakan Raianderson Da Costa Morais diselamatkan oleh Muhammad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-49.

Namun, tidak ada apa yang mampu dilakukan Ilham untuk menyekat Ronaldo Henrique Silva menjaringkan gol kedua dan ketiga tuan rumah pada mnit ke-69 dan ke-76.

Terengganu, bagaimanapun, menjaringkan gol sagu hati melalui sentuhan Thierry Chanta Bin pada minit ke-87 tetapi nyata sudah terlambat untuk menggugat Perak.

KEPUTUSAN LAIN:

PAHANG 2 PKNP FC 0
PKNS FC 2 KEDAH 3
PETALING JAYA CITY FC 1 FELDA UNITED 0