Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan berunding dengan pegawai dan pemain dalam masa terdekat berkaitan penstrukturan semula gaji susulan wabak COVID-19 yang mengakibatkan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohamad Nadzri berkata, ketika ini gaji pegawai dan pemain masih dibayar mengikut kontrak yang dipersetujui sebelum Liga Super bermula pada 28 Feb lepas.

"Kita belum lagi maklumkan kepada pegawai dan pemain, kita baru di peringkat untuk panggil mereka bagi membincang perkara ini. Saya harap situasi menang-menang akan dapat memuaskan hati semua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika rundingan berkenaan berjaya ia sedikit sebanyak akan meringankan beban kewangan yang ditanggung PAFA.

"Saya difahamkan bukan kita sahaja yang agak terbeban (kewangan) malah boleh dikatakan semua persatuan bola sepak di Malaysia juga terjejas disebabkan penangguhan liga," katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Azlin menyambut baik cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang merancang untuk meneruskan kempen Liga-M 2020 mulai 1 Sept hadapan.

Beliau berkata, penetapan jadual baharu itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pihak pengurusan dan pemain dalam mempersiapkan pasukan setelah aksi liga tertangguh sejak 16 Mac lepas.

Pada 1 Mei lepas, MFL dilapor merancang untuk meneruskan aksi Liga Super dan Liga Perdana mulai 1-27 Sept hadapan menerusi format separuh liga sahaja.

Piala Malaysia pula akan berlangsung dari 17 Okt -7 Nov hadapan tanpa melibatkan saingan peringkat kumpulan manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

-- BERNAMA