Perak adakan perlawanan pra-musim selepas tahun baru

Oleh Azizan Hashim 30 Disember 2018 149
Perak adakan perlawanan pra-musim selepas tahun baru

Juara Piala Malaysia, Perak, bercadang mengadakan perlawanan pra-musim selepas cuti tahun baru.

"Pasukan kini kembali lengkap dan kami merancang mengadakan perlawanan persahabatan selepas cuti tahun baru ini sebagai persediaan pra-musim apabila semua pemain pulang daripada bercuti," kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Beliau berkata perlawanan persahabatan perlu bagi menguji kemampuan pelatih selepas menjalani latihan.

Katanya, ketika ini segala perancangan berjalan lancar dengan pemain menjalani latihan setiap petang walaupun tidak semua.

"Pemain yang baru selesai bermain untuk skuad kebangsaan perlukan cuti seminggu atau dua dan kami juga baru dapat pemain kelahiran Australia, Zac Anderson.

"Anderson akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan tetapi sebagai seorang profesional, ia sepatutnya bukan masalah," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, di Ipoh, hari ini.

Jurulatih itu gembira dengan perkembangan dalam pasukannya kerana hubungan baik di kalangan pemain dan pegawai.

"Saya berharap suasana ini mampu dikekalkan sepanjang musim kerana ia faktor membantu kejayaan Perak setakat ini," katanya.

Tanpa mahu menjanjikan apa-apa kejayaan, Durakovic berkata Perak akan mencuba sedaya-upaya untuk merangkul gelaran, bermula dengan Piala Sumbangsih apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin pada 2 Februari nanti.

"Johor pasukan hebat dan kuat serta berada dalam kelas tersendiri. Namun, kami akan berusaha sedaya-upaya untuk memberi saingan," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen