Penyokong Terengganu kecam penyebaran senarai pemain 2017

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2016 385
Penyokong Terengganu kecam penyebaran senarai pemain 2017
Barisan Terengganu untuk menghadapi saingan Liga Perdana 2017 kini bukan lagi rahsia susulan penyebaran satu senarai lengkap pemain yang sedang mengadakan perbincangan untuk menyertai pasukan itu.

Lebih memalukan lagi, senarai itu turut memaparkan maklumat yang tidak wajar didedahkan, iaitu jumlah gaji pemain-pemain tempatan dan import.

Mula tersebar di laman sosial sejak semalam, majoriti penyokong Sang Penyu menghentam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab individu yang menyebarkan senarai itu.

Menurut wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (PETEH), mereka kesal dengan pendedahan yang disifatkan tidak matang dan tidak profesional itu.

“Kejadian ini boleh mengganggu keharmonian pasukan, malah menjejaskan strategi pengendali baharu, Irfan Bakti Abu Salim, untuk merencana barisan terbaik.

“Memang kami menantikan barisan pemain 2017 tetapi bukan cara ini dan maklumat-maklumat terperinci seperti gaji tidak wajar didedahkan kepada umum.

“Mungkin ia bukan senarai yang sudah dimuktamadkan tetapi hairan apa motif penyebaran itu dan kami menuntut pengurusan lebih profesional, jadi rombakan menyeluruh perlu dibuat seperti dijanjikan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

“Individu bertanggungjawab perlu dikenal pasti dan dikenakan tindakan,” ujar wakil Peteh tersebut.

Akibat daripada itu juga, terdapat khabar angin mengatakan Irfan Bakti kecewa dengan profesionalisme Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) dan membatalkan hasrat menjadi ketua jurulatih baharu, musim depan.

Kontroversi itu turut mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.

“Ini (senarai) cadangan awal dan bukan yang sebenar, (tetapi) kita akan siasat," komen Rozi di laman media sosial Facebook.

Kredit foto: Ihsan pembaca

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen