Legenda Selangor, Azman Adnan, berpendapat peminat Selangor tidak boleh terlalu cepat untuk mengharapkan kejayaan sambil berkata revolusi pasukan Merah Kuning itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak.

Azman cukup terkenal dengan jersi Selangor dalam era 90-an di mana dia mewakili pasukan itu dari 1993 hingga 1998 selain turut mewakili The Red Giants dalam musim 2002 dan bersara bersamanya pada 2004.

Sepanjang mewakili pasukan itu, dia pernah menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia , satu gelaran Piala FA, tiga Piala Sumbangsih selain memenangi Liga Semipro Divisyen 2 pada 1993.

Selangor pula, yang akan dijenamakan semula sebagai Selangor FC bermula musim depan, kini kelihatan lebih gemar menggunakan DNA bola sepak Jerman dengan kehadiran pengarah teknikal, Michael Feichtenbeiner, dan seorang ketua jurulatih baru yang dikhabarkan dari negara itu.

Mengulas mengenai perkembangan berkenaan, Azman yang ditemu bual secara eksklusif oleh wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dalam Nadi Weekend hari ini berkata: "Kalau dalam Liga Malaysia, apabila sebut Selangor, Gergasi Merah, boleh dikatakan Selangor mempunyai rekod yang sukar ditandingi.

"Tetapi itu hanya rekod yang hanya tinggal kenangan.

"Jurulatih memang memainkan peranan tetapi walaupun dari Jerman atau dari mana sahaja, apa yang penting adalah bagaimana pihak pengurusan akan bekerjasama dengan jurulatih dan dalam masa sama pemain sendiri perlu memainkan peranan untuk ke depan," katanya.

Mengulas mengenai pengalamannya menyarung jersi Selangor, Azman menambah: "Apabila saya memakai jersi Merah Kuning, saya rasakan satu kebanggaan.

"Saya berasakannya bukan sahaja di Stadium Shah Alam kerana saya bermula di Stadium Merdeka.

"Dengan kehadiran penyokong dan sambutan yang diberikan, saya cukup terharu apabila lagu Merah Kuning berkumandang sebelum perlawanan.

"Apabila mendengar 'merah kuning lambang kebanggaan', ia menaikkan aura dan semangat juang saya.

"Kita ada legenda kita, iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari, jadi sejarah itu telah membuatkan Selangor dulu, setiap lawan pasti akan memberikan lebih daripada 100 peratus.

"Sekarang ini giliran JDT (Johor Darul Ta'zim) pula.

"Kita perlu memilih pemain yang betul-betul berjiwa Merah Kuning," katanya.

Azman turut berpendapat penyokong Selangor tidak boleh terlalu cepat mengharapkan kejayaan selepas revolusi kebangkitan yang cuba dilakukan pasukan itu.

"Merah Kuning bukan sebuah pasukan biasa kerana ia mempunyai legasi dan sejarah tersendiri.

"Jadi, kita sebagai peminat pula -- secara jujurnya saya juga adalah peminat Selangor -- jangan kita mengharapkan kejayaan itu terlalu cepat.

"Contohnya selepas kita tukar jurulatih, kita mahu tahun itu juga menjadi juara.

"Saya rasa hanya magis dan nasib sahaja boleh menjadi seperti itu kerana apabila jurulatih diberikan peranan, waima jurulatih dari mana sekalipun, kita perlu memberikannya masa dan ruang.

"Dan sebagai penyokong Selangor, kita bersabar dan pemain-pemainlah yang perlu memainkan peranan kerana penyokong Selangor terlalu ramai. Hidup mati mereka bersama Selangor," katanya lagi.