Kira-kira 10 kelab penyokong bola sepak The Bos Gaurus (TBG) menyerahkan memorandum bagi mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, meletakkan jawatan, sekali gus meminta campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Memorandum berkenaan antara lain mengandungi surat berserta lebih 3,000 tanda tangan penyokong yang mendesak peletakan jawatan presiden PAFA itu, diperolehi secara langsung dan atas talian menerusi kempen yang diadakan sejak Jumaat lalu disampaikan kepada wakil pejabat Menteri Besar, Khairul Shahril Amin, pagi tadi.

Wakil kelab penyokong The Yellow Mobs, Mohd Jeffrey Amin Abd Hamid, berkata pihaknya menyerahkan memorandum berkenaan ke pejabat Menteri Besar bagi mendesak Ahmad Faizal campur tangan berhubung perkara itu.

Katanya, mereka berharap supaya pemimpin negeri itu memberi keputusan yang kukuh bagi menyelamatkan pembangunan bola sepak negeri.

“Ketetapan kami sama seperti mula-mula kami berkempen, iaitu mahu beliau (Hasnul Zulkarnain) meletakkan jawatan sebagai presiden PAFA.

“Sebelum ini, jika berlaku apa-apa masalah, presiden PAFA atau timbalan pPresiden PAFA akan meletakkan jawatan, tidak perlu sesiapa mendesak.

“Sekarang desak pun tidak mahu letak jawatan, ia bergantung kepada etika kerana beliau sendiri membuat silap, sekali gus menimbulkan kemarahan penyokong, ” katanya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pagi tadi.

Mohd Jeffrey berkata meskipun memorandum sudah diserahkan kepada pejabat Menteri Besar, namun petisyen tanda tangan daripada penyokong yang mendesak peletakkan jawatan Hasnul Zulkarnain akan diteruskan sehingga Isnin ini.

Sementara itu, wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Batu Gajah, Mohd Shirin Adnan, berkata penyokong mencabar sekiranya Hasnul Zulkarnain enggan meletakkan jawatan, presiden PAFA itu perlu memastikan prestasi pasukan terus cemerlang dalam perlawanan akan datang.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena (pada prestasi pasukan), kami akan terus membantah kerana kami mahu pasukan TBG terus maju dan senario kecemerlangan pasukan diteruskan kerana kami tidak mahu menunggu selepas 18 tahun lagi untuk menjulang Piala Malaysia,” katanya.