Kemelut kepimpinan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) membuka laluan baru apabila beberapa kelab penyokong mencadangkan Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebagai presiden menggantikan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Mereka mahu Ahmaf Faizal menggantikan Hasnul Zulkarnain bagi memastikan kemantapan dan kesinambungan kepimpinan PAFA berikutan peletakan jawatan presiden PAFA itu, semalam.

Walaupun peletakan Hasnul belum muktamad kerana perlu pengesahan jawatakuasa eksekutif persatuan itu, kumpulan itu bagaikan sudah dapat meneka jalan cerita dan skrip episod ini.

Jurucakap kumpulan itu, Roslan Mat Baharom, berkata pencalonan Menteri Besar Perak sebagai presiden bertujuan mengelak persatuan menghadapi masalah kewangan.

"Dengan Menteri Besar sebagai presiden, sudah tentu tidak timbul masalah mendapatkan dana daripada pelbagai pihak nanti.

"Beliau adalah calon paling tepat untuk memimpin PAFA ketika ini," kata Roslan.

Begitupun Roslan berkata kumpulan itu yang mempunyai enam kelab, iaitu Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Die Hard Fanz Perak, PAFA Fan Club, Support Fan of Perak, Ipoh City Fan dan Seladang Fan Club menyerahkan kepada Ahmad Faizal menentukan sama ada menerima atau tidak cadangan mereka itu.

"Kami terima apa juga keputusan Menteri Besar. siapa yang beliau cadangkan kami akan akur," katanya.