Naib Presiden Melaka United, Datuk Khairi Anuar Baduk, berkongsi pengalaman suka-dukanya sepanjang bersama skuad Hang Tuah sejak tahun 2013 hingga sekarang.

Menerusi laman Facebook miliknya, Khairi berkata berkat usaha dan keberkatan Allah swt, akhirnya Melaka United berjaya menjadi juara Liga FAM selepas 32 tahun dan pada tahun ini dianugerahkan sebagai juara Liga Perdana.

“Tahun ke tahun, banyak perkara yang diperbaiki hasil daripada tunjuk ajar Tun Mohd Khalil Yaakob (Yang Dipertua Negeri Melaka) yang sememangnya pernah menerajui pasukan Pahang dalam kancah liga tertinggi Malaysia."

Katanya lagi, kecemerlangan pasukan Melaka mula terserlah selepas Presiden Melaka United Football Club (MUFC), Dato Seri Utama Idris Haron, dengan pasukan pengurusannya muncul untuk membantu menaikkan skuad Hijau Putih itu sekitar pertengahan tahun 2013.

Ia diinspirasikan oleh sekumpulan penyokong tegar Melaka United, pemain, bekas pemain, ahli korporat, jurulatih, ahli politik, penganalisis bola sepak dan mereka yang ingin melihat bola sepak Melaka berada kembali pada landasan yang betul.

"Akhirnya, atas desakan Ultras Taming Sari pada malam terakhir perlawanan pada musim 2014 dengan menghantar memorandum kepada pengurusan MUFC, membuatkan mereka lebih peka pada 2015 dengan membuat persiapan yang lebih rapi dan salah satu usaha mereka ialah dengan memanggil Mat Zan Mat Aris sebagai pengendali pasukan Melaka United yang baru."

Beliau turut mengulas pengurusan kali ini lebih terurus dan sehingga hari ini, tidak pernah dengar keluhan daripada pemain, pengurusan ingkar tentang pembayaran gaji, malah mereka diberi bonus kemenangan setiap kali perlawanan selesai.

Pihak pengurusan MUFC ingin merencanakan kejayaan yang berterusan untuk tahun yang mendatang walaupun ada keputusan yang dilakukan adalah tindakan yang ditentang sekerasnya oleh penyokong.

Nasihatnya lagi, seharusnya mereka harus menyokong apa jua keputusan yang telah diputuskan oleh pihak MUFC kerana setiap keputusan yang dilakukan telah melalui penilaian dan kajian yang mendalam bagi memastikan empayar Melaka United terus gah di dalam dunia bola sepak.