Rata-rata peminat Selangor yang ditemui berharap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengubah pendirian untuk memberi sokongan kepada PKNS FC supaya isu penyertaan kelab itu dalam saingan musim depan dapat diselesaikan dengan baik.

Mereka turut berharap Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga mampu meleraikan krisis kepimpinan yang kini masih melanda persatuan itu.

"Sekarang ini, FAS seolah-olah mengambil pendekatan menidakkan sumbangan PKNS pada bola sepak negara. Itu sama sekali tidak wajar bagi saya sebagai penyokong," kata Ikmal Hisham.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Selangor, Ramlan Md Deros, berkata: Sepatutnya menteri besar memberi tekanan supaya kemelut FAS ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Ia bagi mengelak perkembangan bola sepak Selangor terbantut."

"Ketika Mehmet (Durakovic) dibuang, exco sepatutnnya bersidang lebih awal dan membuat persiapan untuk ke musim 2017/18. Bagi saya, jalan paling mudah ialah membuat mesyuarat tergempar. Panggil semua exco termasuk gabungan kelab penyokong," kata Amran Shaharudin.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu, walaupun tarikh akhir pendaftaran pasukan berakhir esok.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.