Penyokong desak menteri besar selamatkan bola sepak Selangor

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Disember 2016 5
 Penyokong desak menteri besar selamatkan bola sepak Selangor
Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GFCS) mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk menyelamatkan bola sepak negeri itu selain melakukan penstrukturan semula Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). 

Diwakili presiden penajanya, Mohd Faizal Wahid, mereka menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar, Shahril Said, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri. 

Antara intipati dalam memorandum itu ialah meminta menteri besar agar menilai keputusan untuk tidak memberi sebarang peruntukan kepada pasukan Selangor. 

"(Menteri besar perlu) memastikan dengan serta-merta dalam mengusahakan pasukan Selangor dapat bersaing dalam Liga Super, sama ada memberi dana atau tidak, supaya   tidak mempersiakan bakat serta masa depan pegawai dan pemain yang berjasa mengibarkan kemegahan Selangor Darul Ehsan," katanya. 

Jika usaha menyerahkan memorandum itu tidak menemui hasil, GFCS tidak akan teragak-agak berjumpa dengan pihak FAS bagi mencari jalan menemui menteri besar. 

"Kemungkinan dalam usaha kedua kami, kami akan bersemuka dengan pentadbiran FAS di pejabat mereka. 

"Yang ketiga, kami akan membuat forum untuk sesi dialog dengan pengurusan FAS sendiri."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen