Pentadbir Liga Malaysia, iaitu Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menyasarkan 2018 sebagai musim yang menyaksikan setiap pengurusan pasukan diswastakan sepenuhnya dalam usaha menjayakan pelesenan kelab yang disyaratkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Siri kedua laporan khas anjakan saujana pengurusan bola sepak Malaysia hari ini berkongsi pendekatan yang perlu diambil bagi menjayakan misi penswastaan 2018.

Malaysia sebenarnya tidak perlu meninjau jauh bagi melihat hasil pengurusan kelab profesional yang berjaya kerana contoh terdekat yang terbaik ialah negara jiran, Thailand.

Kejayaan skuad kebangsaan Thailand bimbingan Kiatisuk Senamuang meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF buat kali kedua berturut-turut tahun ini juga adalah kerana pengurusan kelab profesional yang berjaya di Thailand.

"Apabila model sekarang tidak memberi kesan yang kita harapkan, kita harus melihat model yang telah berjaya yang terdapat di banyak negara.

"Tak perlu ke Eropah pun kerana jiran kita, Thailand, pun mempunyai satu model yang berjaya," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Bagi bekas pengendali Harimau Malaysia, B. Sathianathan, yang berkesempatan membuat lawatan ke beberapa kelab luar turut mempunyai pandangan tersendiri.

"Ketika saya melawat kelab Muangthong United, saya pun hairan kerana stadium yang dibina oleh mereka bukanlah daripada bantuan kerajaan.

"Mereka ada satu koperasi, iaitu kelab yang diswastakan," katanya.

Jika di Malaysia, usaha mencapai syarat pelesenan kelab hanya dimulakan pada 2014.

Di Thailand, ia sudah bermula pada 2011 dengan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menubuhkan Thai Premier League Limited yang berperanan seperti FMLLP.

Setiap kelab di Thailand kemudian mula diswastakan sepenuhnya dan beroperasi dengan entiti berbeza daripada syarikat korporat yang memiliki kelab tersebut.

Dalam usaha menswastakan pentadbiran pasukan Liga Malaysia (Liga M), ia tidak bererti dapat mengubah pasukan negeri kepada kelab, tatapi hanya perubahan ke arah lebih korporat daripada segi pengurusan.

"Biasanya, kami menasihatkan mereka supaya berubah kepada struktur kelab yang berasingan daripada persatuan bola sepak negeri atau yang lain," kata Windsor lagi.

Tambah Sathianathan lagi, "Vietnam dah lama ambil langkah begitu. Indonesia juga sama.

"Semua diuruskan bukan seperti cara yang kita buat. Mereka mengikut aliran masa seperti yang berlaku di Eropah dan Jepun.

"Kita bukan tak boleh, tapi ada sesetangah pihak yang enggan tukar.

"Kita lihat pembuat dasar dan penggiat bola sepak di Vietnam, Thailand dan Myanmar. Mereka percaya struktur yang berasaskan kelab boleh melonjakkan standard bola sepak mereka," kata pemerhati sukan negara, Rizal Hashim.

Kini, peminat tempatan juga semakin matang dan mahu pentadbiran cara lama yang masih dipelopori sebahagian besar persatuan negeri, dimansuhkan.

Lebih menarik, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin Idris Shah, turut mahukan krisis dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diselesaikan segera dan persatuan itu dirombak sepenuhnya.

"Kalau kita melihat formula Yayasan Johor Darul Ta'zim (JDT), mereka mahu membuka keahlian kelab JDT kepada penyokong dan itu sebenarnya adalah formula yang mengikut Real Madrid dan Barcelona.

"Kita melihat penyokong Selangor sebenarnya sudah bosan dengan apa yang berlaku dalam FAS, seolah-olah FAS tidak mahu maju," kata Rizal lagi.

FMLLP sebelum ini turut memberi jaminan, tiada kompromi dalam soal syarat pelesenan kelab untuk 2018 kerana ia adalah kaedah yang mampu membentuk landskap bola sepak negara ke arah yang lebih positif.

"Pelesenan kelab akan menjadi tunjang kepada masa depan dan kemajuan bola sepak Malaysia.

"Kita perlu menerapkan pelesenan kelab secara agresif. Ia harus dilakukan bersama-sama secara keseluruhannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Jika kebanyakan pasukan Liga M masih enggan berubah ke arah penswastaan pasukan dan lulus syarat pelesenan kelab, bola sepak negara akan terus ketinggalan walaupun di rantau Asia Tenggara.