Felda United akur dengan gesaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melengkapkan proses penswastaan kelab menjelang tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk itu pada September depan.

Meskipun berdepan kekangan masa, setiausaha agungnya, Afizal Abu Othman, mengakui pihaknya sedia berbuat demikian bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

"Saya rasa ini satu gesaan yang bagus, bukan sahaja untuk memantapkan liga kita sebagai liga profesional tetapi juga membantu kebajikan pemain dan semua yang bekerja dalam industri bola sepak.

"Kami sebenarnya dibawah Suruhanjaya Sukan, jadi kami perlu melakukan permisahan kelab.

"Untuk syarat permisahan kelab yang ditetapkan oleh FAM dan AFC, kami seharusnya menjadi syarikat sendiran berhad," katanya.