Berita baik buat semua peminat sukan bola sepak tanah air apabila penonton mungkin boleh kembali ke stadium tidak lama lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Reezal Naina Merican, menyatakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal memberi usul 'protokol pengurusan penonton' kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi kelonggaran untuk penonton menyemarakkan arena bola sepak musim ini.

"KBS bercadang untuk mengeluarkan usul untuk membenarkan penonton kembali ke stadium," kata Reezal.

"Kami akan memerlukan SOP yang lengkap, KBS akan menyediakannya dan ia akan diperhalusi bersama MFL Khamis ini sebelum dibawa ke MKN."

Pihak KBS dan MFL dijadualkan berbincang 11 Mac ini untuk sama-sama memperincikan cadangan 'protokol pengurusan penonton' sebelum mengemukakan usul itu kepada pihak MKN minggu hadapan.

Antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diperhalusi ialah kaedah kawalan dan pengurusan seperti akses kemasukan ke stadium, penjarakan tempat duduk yang bersesuaian, kawalan atau pengasingan daripada pemain dan pegawai dalam gelembung sukan dan sebagainya.

"Saya yakin ramai yang sudah lama mahu kembali ke stadium dan saya percaya mereka yang benar-benar mahu kembali ke stadium akan menjaga SOP dan memberikan keyakinan kepada kerajaan supaya terus membenarkan penonton kembali menonton bola sepak di stadium."