Penjaga gol ketiga bantu Kedah lonjak ke tangga kedua Liga Super

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Oktober 2020 12487
Penjaga gol ketiga bantu Kedah lonjak ke tangga kedua Liga Super
KEDAH 1 MELAKA UNITED 0 

Kedah memungut kelebihan untuk menyambar kedudukan kedua Liga Super melalui kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi 


Menjelang perlawanan terakhir divisyen utama itu Sabtu ini, gol tunggal daripada Shakir Hamzah membawa makna besar buat skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak berkenaan untuk menyambar slot ke Piala AFC musim depan. 

Kejayaan mengutip mata penuh dalam perlawanan tunggal malam ini memberi makna cukup besar buat Lang Merah untuk satu mata di depan sekali gus memintas kedudukan Perak yang merekodkan 18 mata, sementara Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah pun mengesahkan gelaran musim ini buat kali ketujuh selepas menundukkan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu. 

Shakir memanfaatkan sepakan penjuru daripada Tchetche Kipre pada minit ke-19 untuk menggegar gawang yang dikawal bekas tonggak kebangsaan, Norazlan Razali, menerusi tandukan kencang. 

Kedah turun dengan bersemangat tinggi dan komitmen itu diperlihatkan sejak minit pertama permainan dengan melancarkan serangan bertali arus yang diketuai Baddrol Bakhtiar disusuli percubaan jarak dekat Kpah Sherman.

Melaka beroleh dua peluang terbaik untuk mengikat kedudukan dalam separuh masa pertama tetapi penjaga gol ketiga Kedah, Azri Ghani -- yang beraksi buat kali pertama musim ini -- bertindak cemerlang  mematahkan percubaan Uche Agba. 

Penyerang dari Nigeria itu turut berpeluang dalam awal babak kedua tetapi terus buntu untuk merobek benteng lawan. 

Satu-satunya berita kurang enak untuk pasukan wakil utara itu ialah situasi kecederaan Hadin Azman.

Bekas ketua pasukan Felda United itu hanya sempat bertahan selama empat minit di atas padang sebelum terpaksa diusung keluar kerana masalah hamstring pada minit ke-89. 

"Ini perlawanan pertama yang amat penting bagi saya. 

"Semua pemain telah berikan komitmen terbaik. 

"Jurulatih berpesan supaya saya menikmati perlawanan. Alhamdulillah ini peluang dan rekod tanpa bolos pertama bagi saya.

"Saya mahu curahkan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya," kata Azri. 

 

#LS10 #KEDMEL #CIMBLigaSuper2020 Sebahagian aksi di separuh masa pertama dengan Kedah mendahului 1-0 hasil jaringan...

Posted by FA Kedah on Monday, October 5, 2020



 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen