Pengurus baru pasukan Selangor, Abdul Rauf Ahmad, mahu memastikan skuad Gergasi Merah Kuning tetap bersedia mengharungi Liga Super 2017 di sebalik kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Konflik di dalam FAS nyata memberi kesan buat pasukan Selangor, apatah lagi dilaporkan masih mencari dana untuk memastikan perjuangan dapat diteruskan bagi musim 2017.

Namun, perkara itu tidak menjadi alasan buat Abdul Rauf sambil melaungkan keyakinan ia mampu diatasi sebelum sepak mula saingan Liga Super pada 21 Januari nanti.

"Buat masa sekarang, kami tiada masalah untuk mengharungi dan melepasi bajet untuk kami terus bertanding dalam Liga Malaysia.

"Cuma isu penaja saya serahkan kepada setiausaha agung dan pihak pengurusan supaya isu ini lebih jelas dan nyata," katanya.

Sebelum ini,beliau merupakan pengurus bagi skuad Piala Presiden Selangor selama dua musim.

Dalam pada itu, Abdul Rauf mengesahkan Selangor akan mengikat Francis Forkey Doe bagi mengisi kuota import pasukan berkenaan.

Forke Doe bukan nama asing kerana pernah beraksi dengan Selangor sebelum ini di samping mewakili beberapa pasukan tempatan lain seperti Felda United, Kelantan dan Terengganu.

"Kami telah berbincang dengan barisan kejurulatihan dan pengurusan untuk mengikatnya.

"Kami bukan sahaja merujuk aksinya yang pernah bersama kami tapi juga ketika dia bersama pasukan Felda United umpamanya, kami nampak Forkey Doe mampu membantu kami untuk mengharungi Liga M pada musim depan."

Selain itu, Selangor juga mengekalkan khidmat Ugo Ukah yang dilanjutkan kontrak, manakala situasi membabitkan Andik Vermansyah masih belum pasti susulan kecederaan lutut yang dialami pemain kebangsaan Indonesia itu.