Pengorbanan Wan Zack Haikal mula buktikan pulangan 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Ogos 2020 14975
Pengorbanan Wan Zack Haikal mula buktikan pulangan 
Kerelaan dipotong gaji gara-gara ditimpa kecederaan serius tampak memberi hikmah buat pemain sayap Selangor, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Bekas pemain FC Ryukyu itu mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan menerusi dua gol dalam dua aksi pemanas badan bertemu UKM FC kelmarin. 

"Alhamdulillah, selepas dilanda kecederaan panjang, saya dapat kembali ke prestasi sebenar dari hari ke hari. 

"Bila kena kecederaan lutut 'ACL', semua pemain di dunia ini takut dengannya. 

"Moral memang jatuh teruk, pergerakan selepas pembedahan adalah sukar dalam membuat pergerakan harian kerana sata hanya terlantar dengan kaki tergantung selama dua ke tiga minggu. 

"Kalau mental tidak kuat, pasti tidak boleh hadap. Mujur isteri banyak memberi sokongan," katanya dalam perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di padang latihan Gergasi Merah, Shah Alam. 
 
Posted by FA Selangor on Saturday, August 8, 2020

Di sebalik sedia dipotong gaji oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ekoran kecederaan yang menimpanya sebelum sepak mula musim lalu, bekas tonggak Harimau Muda itu tetap menghargai usaha majikannya yang masih memberinya kepercayaan. 

"Saya berterima kasih kepada FAS kerana memberi peluang kepada saya selain memberi kontrak lanjutan setahun lagi.

"Walaupun gaji dipotong, bukannya saya tidak kisah tapi saya sedar dengan realiti. 

"FAS menjaga saya dengan baik sepanjang saya tercedera setahun lalu malah memberi saya program pemulihan," katanya.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu akan diuji musuh berjiran, PJ City, apabila saingan Liga Super bersambung 22 Ogos ini dengan misi serampang dua mata.

Harapannya untuk mencuri perhatian jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bagi mengharungi tiga baki aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Saya akan cuba terbaik untuk kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan. 

"Dengan baki tiga perlawanan lagi, saya harap dapat rebut tempat bermain dalam kesebelasan utama dan membuktikan bahawa saya masih mampu bermain bersama pasukan kebangsaan."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen