Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala, menyerahkan nasibnya kepada pihak pengurusan selepas gagal menyelamatkan pasukan daripada tersingkir ke Liga Perdana pada musim depan walaupun berasakan masa depan skuad Bujang Senang tetap cerah kerana memiliki ramai bakat muda.

Dia yang baru sahaja mengambil alih pasukan daripada David Usop pada 12 Julai lalu, ternyata tidak bernasib baik selepas diikat seri 0-0 oleh T-Team dalam aksi terakhir Liga Super 2017, sekaligus terlepas aksi 2018 di peringkat tertinggi dan memberikan ruang buat Kelantan untuk memintas kedudukan di tangga ke-10 liga.

Kini, masa depan Pengiran Bala yang akan tamat kontrak pada penghujung bulan depan, terletak di atas budi bicara Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

“Kontrak saya akan tamat pada akhir musim ini dan saya menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan.

“Saya gembira jika dikekalkan kerana kami memiliki skuad yang berpotensi untuk berjaya pada masa depan,” katanya.

Bagi ketua pasukan, Mohd Hairol Mokhtar, dia memohon seribu kemaafan kepada semua penyokong Sarawak susulan kegagalan mengekalkan tempat dalam Liga Super 2018 dan berharap agar sokongan buat skuad Bujang Senang diteruskan.

“Kami sudah melakukan yang terbaik untuk Sarawak tetapi rezeki tidak menyebelahi kami. Jadi, kepada penyokong-penyokong Sarawak, saya meminta maaf banyak-banyak.

“Berilah sokongan kepada pasukan Sarawak bagi saingan pada 2018 nanti,” ujar Hairol.