Pengiran Bala sajikan perubahan drastik berdepan Kedah

Oleh Rudi Affendi Khalik 27 September 2017 354
Pengiran Bala sajikan perubahan drastik berdepan Kedah
Sedar akan aksi berdepan Kedah malam ini adalah penentuan "hidup mati" pasukannya dalam Liga Super, pengendali Sarawak, Pengiran Bala, membuat perubahan drastik terhadap posisi pasukannya.

Menurutnya, perubahan dilakukan setelah mengambil kira kelemahan anak buahnya, yang menyebabkan pasukan itu terjerat 0-3 kepada Pahang pada minggu lalu.

"Tiada pilihan. Kami perlu menang. Kami tidak dapat mengharapkan belas kasihan pasukan lain atau mengharapkan kekalahan pasukan Kelantan.

"Kesempatan bermain di tempat sendiri harus diperguna sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, kesemua pemain kecuali Ronny Harun akan berhempas-pulas malam ini biarpun mereka tahu Kedah bukanlah calang-calang pasukan.

"Yang penting, setiap pemain fokus, fokus dan fokus. Kita sudah berada di penghujung saingan dan seharusnya fokus tidak menjadi masalah.

"Lagipun, mereka hanya ada 180 minit berbaki untuk menyarung jersi Sarawak. Seharusnya ia digunakan sebaik mungkin untuk membolehkan penyokong setia pasukan ini mencipta senyum."

Sarawak mencipta kemenangan pertamanya di tempat sendiri pada aksi terakhir di Stadium Negeri sebelum ini ketika aksi menentang Pulau Pinang.

Justeru, adalah menjadi harapan yang tebal agar momentum ini dicetuskan kembali.

Aksi malam ini dan pertemuan terakhir Liga Super menentang T-Team pada 28 Oktober depan juga menjadi detik penentu siapa yang bakal dikekalkan dalam pasukan Sarawak musim depan.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen