Sarawak sudah hampir pasti menggunakan khidmat Pengiran Bala sebagai ketua jurulatih skuad Liga Malaysianya pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, berkata pihaknya sedang dalam proses akhir memuktamadkan keputusan itu dan akan diumumkan selepas Mesyuarat Exco FAS pada 12 November depan.

"Secara tidak rasmi, pengurusan FAS memilih beliau.

"Kami berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh bekas penyerang era Ngap Sayot itu ketika mengambil alih tugasan daripada David Usop pada pertengahan musim," katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, katanya, tidak ada pilihan lain kerana mencari jurulatih baharu akan menyebabkan pasukan terpaksa bermula dari bawah semula.

Beliau juga tidak menafikan untuk mengekalkan bekas jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak, S .Velloo sebagai penolong jurulatih.

Posa, bagaimanapun, mengesahkan akan berlaku rombakan pada skuad baharu itu kelak.

"Kami masih menunggu laporan penilaian oleh panel kejurulatihan tetapi akan ada pengguguran dan penghijrahan.

"Saya difahamkan ada dua pemain kami telah dipancing oleh pasukan berstatus kelab dengan gaji yang lumayan, lebih empat kali ganda yang kami tawarkan sekarang," ujarnya.

Katanya, pihaknya juga sedang mempertimbang beberapa pemain senior yang mungkin diperlukan untuk mengimbangi pemain-pemain muda.

"Kedudukan pemain import hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Exco FAS kerana kami juga perlu melihat kepada kedudukan bajet pada musim depan.

"Tidak ada guna mendapatkan pemain import mahal tetapi selepas itu terkial-kial membayar gaji," jelasnya.