Penghijrahan PKNS FC ke PBSMS perlu disahkan FAM

Oleh Staff Writer 7 Disember 2016 2
Penghijrahan PKNS FC ke PBSMS perlu disahkan FAM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, berkata penerimaan PKNS FC sebagai ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS) kini hanya memerlukan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
Jelas Kevin, jika FAM mengesahkan kelab itu sebagai ahli gabungan PBSMS, maka PKNS FC layak beraksi dalam Liga Malaysia 2017.
 
“Hanya FAM yang memiliki kuasa untuk memastikan PKNS layak beraksi dalam Liga Malaysia musim hadapan. Jika FAM memberitahu gabungan di antara PBSMS dan PKNS FC sah, maka FMLLP akan menerimanya,” ujar Kevin.
 
Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim, mengakui penghijrahan PKNS ke PBSMS satu kerugian buat FAS, bagaimanapun, akur dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan kelab itu.
 
"Ya, ia merupakan satu kerugian, tetapi buat masa ini, inilah perkara yang telah berlaku. Presiden FAS (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) masih tidak memberikan sebarang arahan, maka pihak exco juga tidak boleh membuat keputusan mengenai penyertaan PKNS FC buat musim hadapan,” jelas Rosman.
 
PKNS hari ini mengesahkan menyertai gabungan PBSMS bagi membolehkan skuad itu mengemukakan penyertaan untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim depan. 

Sebelum ini, penyertaan PKNS FC menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen