Penggabungan FAS-PKNS perlu dinilai semula -- Rajagobal

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2019 927
Penggabungan FAS-PKNS perlu dinilai semula -- Rajagobal
Jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, berharap usaha penggabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan PKNS dinilai semula sebelum kata putus dibuat.

Merujuk kepada pembangunan yang telah dibuat PKNS, nada terkilan terbit daripada Rajagobal andai usaha penggabungan itu diteruskan.

Semua sedia maklum program pembangunan daripada PKNS sememangnya rancak tetapi adakah usaha itu akan terhenti andai berlaku penggabungan seperti yang diuar-uarkan.

Tegas Rajagobal, yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan itu, notis penggabungan itu terlalu singkat dan beberapa usaha dan perancangan yang ada terbantut dengan perkembangan terbaru itu.

"Kami telah menghasilkan pemain-pemain untuk skuad senior dan peringkat umur. Buat masa ini, sebarang keputusan akhir belum dibuat dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan dan berharap ia adalah yang terbaik," katanya.

Jika usaha itu benar-benar berlaku musim depan, Rajagobal sendiri menegaskan ia adalah perkara mustahil untuk melihat kombinasi Rajagobal-Sathianathan dalam satu pasukan.

Sehingga ke saat ini, pihak pengurusan PKNS masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi, malah Rajagobal sendiri masih meneruskan sesi latihan tiga kali seminggu seperti biasa selagi khidmatnya diperlukan.

"Jika ruang diberikan, saya berasakan PKNS akan bersedia dan kami masih belum menerima sebarang makluman daripada pihak pengurusan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen