Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Amir Sharifuddin Wong, menganggap persepsi buruk terhadap sentuhan pengadil Liga Malaysia (Liga-M) sebagai asam garam dalam dunia bola sepak, namun menegaskan tanggapan itu sememangnya tidak adil buat sosok penting di atas padang itu.

Pertemuan perlawanan akhir Piala FA di antara Kedah dan Perak musim lalu menyaksikan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), memilih tiga pegawai perlawanan dari Jepun yang diketuai Takuto Okabe dan prestasi mereka dalam mengawal permainan mengundang pujian ramai.

"Kami tidak pernah mengharapkan orang mengucapkan perlawanan dikendalikan dengan baik tetapi apabila ia berlaku ketika pemain bersalaman dengan kami selepas perlawanan berakhir, ia satu kepuasan yang tidak terhingga.

"Kami sebagai pekerja, melakukannya kerana Allah tanpa mahukan (sebarang) ujian tetapi adalah menjadi tanggungjawab majikan, iaitu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk menghargai orang bawahan.

"Apabila orang bawahan telah melakukan tugasan dengan baik, FAM perlu menghargainya dengan berikan sesuatu yang sepatutnya sebagai motivasi untuk mereka menjadi lebih baik daripada itu," katanya kepada ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.





Tambahnya lagi, pengadil bukanlah kebal tetapi kesilapan boleh dielakkan sekiranya mereka meluangkan masa untuk membuat kerja rumah memandangkan kesalahan era ini mudah menjadi tular di media sosial walaupun lebih banyak perkara baik di sebalik kepincangan.

"Setakat ini, apabila (menunjukkan prestasi) baik, tiada apa (pujian) tetapi apabila tidak bagus, pengadil dicemuh.

"Ia agak tidak adil sedangkan pasukan-pasukan juga sepatutnya sedar jika permainan mereka sendiri tidak baik, mereka perlu bertanggungjawab.

"Pengadil tidak sunyi daripada melakukan kesilapan tetapi boleh cuba mengurangkannya.

"Jadi mereka boleh buat persediaan awal dalam aspek mental dan fizikal, buat kajian terhadap setiap pasukan dan sikap pemain agar (pengetahuan) pengadil lebih lengkap ketika berada di atas padang."