Penyerang Selangor, Rufino Segovia, bertekad untuk memastikan pasukannya meraih keputusan positif apabila berdepan Kedah dalam saingan Liga Super di Alor Setar, esok.

Walaupun cemerlang dengan dua gol ketika membenam Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu, Rufino melihat kerjasama erat sepasukan dalam skuad Selangor perlu dikekalkan untuk aksi berdepan Kedah.

Dia juga sedar Kedah akan turut memburu tiga mata di laman sendiri dalam usaha mengukuhkan kedudukan liga dan Selangor tidak boleh memandang mudah cabaran skuad Lang Merah itu.

"Tentunya penting untuk menjaringkan gol tetapi bagi saya, apa yang paling penting adalah keputusan untuk pasukan ketika menyempurnakan peluang.

"Kami juga perlu mendapatkan satu piala dan berjuang untuk saingan ini. Pencapaian individu tidak begitu penting," kata Rufino.

Sementara itu, pengendali Selangor, Muhd Nazliazmi Nasir, tidak gusar dengan ketiadaan pertahanan import, Willian Pacheco, untuk aksi di Stadium Darulaman itu.

Pengendali yang menggantikan P. Maniam itu yakin pasukannya tetap mampu membariskan kesebelasan terbaik, apatah lagi dengan kehadiran semula kapten, Razman Roslan, untuk menguatkan benteng Red Giants.

"Mungkin Razman akan berganding dengan beberapa calon daripada pemain muda untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pacheco.

"Untuk aksi berdepan Kedah, kami hanya mahu mengutip mata selepas tiga kekalahan liga sebelum ini. Kami tidak boleh dibuai keyakinan yang terlalu tinggi selepas kemenangan dalam aksi Piala FA dan perlu menghormati Kedah," ujar Nazliazmi.