Pemuda UMNO Perak, seorang wakil rakyat masih berhutang dengan PAFA

Oleh Azizan Hashim 5 Disember 2018 849
Pemuda UMNO Perak, seorang wakil rakyat masih berhutang dengan PAFA
Pemuda UMNO Perak dan seorang wakil rakyat masih berhutang dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Pendedahan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi Negeri yang juga bekas presiden persatuan itu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, semasa membuat penggulungan Exco dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

"Dalam ucapan penggulungan saya, saya telah mendedahkan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan PAFA.

"Ini termasuklah tentang beberapa individu dan organisasi yang tidak menjelaskan tunggakan bayaran pembelian tiket kepada PAFA.

"Tunggakan tersebut tidak dijelaskan sehingga ke hari ini biarpun difahamkan tuntutan telah dibuat.

"Ini termasuklah pembelian tiket oleh Pemuda UMNO Negeri Perak sebanyak RM7,500.

"Malah, terdapat seorang individu yang berada di dalam Dewan Negeri Perak masih tidak melunaskan tunggakan bayaran tiket mencecah RM20,000.

"Saya harap individu dan pihak berkaitan dapat melunaskan bayaran tersebut dengan segera jika mereka benar-benar mempunyai integriti, bukan hanya lantang berkata-kata," katanya merujuk kepada Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Menurutnya kejadian berlaku semasa PAFA di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen