Pemangku Presiden FAS seru karamkan PDRM

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Oktober 2016 0
 Pemangku Presiden FAS  seru karamkan PDRM
“Ayuh karamkan PDRM dengan semangat Ngap Sayot!” itu laungan Pemangku Presiden, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim, kepada penyokong Sarawak untuk hadir beramai-ramai menyaksikan aksi terakhir Liga Super malam esok.

Menurutnya, perlawanan itu amat penting kerana ia medan aksi terakhir skuad negeri itu tahun ini dan sebarang keputusan akan menentukan kedudukan Sarawak dalam liga tersebut.
 
“Kami hanya memerlukan seri. Tetapi pada aksi malam esok, kami mahukan kemenangan.
 
“Kami mahu ia menjadi pencetus kepada kebangkitan baharu skuad ini, yang kini dalam saf kepimpinan baharu,” katanya.
 
Sehubungan itu, Wahab menyeru ribuan penyokong Sarawak membanjiri Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sarawak.
 
“Ia juga akan menjadi kayu pengukur kepada perancangan persatuan terhadap skuad bagi menghadapi kempen baharu musim depan," tambahnya.
 
Katanya, beliau pasti anak-anak buah David Usop akan memberikan aksi paling bersungguh-sungguh malam esok kerana ia perjuangan terakhir mereka.
 
“Mereka akan bermain dengan sepenuh tenaga dan keupayaan dan ini pasti akan menggembirakan penyokong yang hadir kelak,” katanya lagi.
 
Sarawak sedang menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 21 mata hasil lima kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan.
 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen