Pemain tempatan harus berani terokai pasaran luar 

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2017 568
Pemain tempatan harus berani terokai pasaran luar 
Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, kecewa dengan trend pemain tempatan yang enggan beraksi di luar negara walaupun mendapat tawaran, terutama dari Thailand. 

Biarpun Thailand turut memperkenalkan kuota ASEAN bagi pemain import musim depan, tiada mana-mana kelab mengambil pemain negara.

Berbanding Singapura, sekurang-kurangnya tiga pemain republik itu berhijrah ke sana, dengan paling mencuri tumpuan, Zulfahmi Ariffin, ke Chonburi FC. 

Jelas Richard, dia hairan mengapa tiada pemain negara sanggup mengambil cabaran beraksi di sana atau di tempat lain yang dilihat penting dalam meningkatkan mutu bola sepak negara. 

"(Perpindahan ke luar negara) harus diperhalusi dan difikirkan sedalam-dalamnya oleh semua pemain profesional kita. 

"Kalau di Thailand pun mereka sukar menyahut cabaran, apatah untuk ke negara lain walhal pemain dari Singapura menyahut cabaran itu. 

"Sekiranya bola sepak mereka meningkat, kita tidak boleh mengeluh hanya membuat perbandingan, padahal (pemain) kita tidak mencuba," ujar Richard. 

Nada sama turut disuarakan Presiden Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, yang menggesa pemain agar berfikiran jauh. 

Keselesaan di tempat sendiri dan mengejar gaji tinggi semata-mata perlu dikorbankan jika mereka mahu mencari pengalaman baru dalam kancah luar negara. 

"Kalau pemain-pemain mendapat peluang, lebih baik pergi sahaja walaupun dengan gaji yang diperolehi tidak seperti di Malaysia. 

"Kalau bermain di liga luar, sudah tentu pemain kita akan dapat belajar perkara-perkara baru seperti sikap profesionalisme pemain luar. 

"Ini akan membantu pemain-pemain apabila mereka mewakili negara," kata Rezal. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen