Pemain import Singapura terbaik di ASEAN -- Sathianathan 

Oleh Bernama 10 April 2020 254
Pemain import Singapura terbaik di ASEAN -- Sathianathan 
Pemain import dari Singapura adalah paling berkualiti berbanding pemain dari negara ASEAN lain yang mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kenyataan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, itu disokong berdasarkan lima pemain import yang beraksi dalam kancah tempatan ketika ini adalah antara tonggak utama skuad kebangsaan Singapura. 

"Kalau kita tengok kualiti yang ada pada pemain Singapura yang bermain dalam Liga Malaysia sekarang, saya boleh katakan mereka sentiasa konsisten dan menjadi tonggak utama pasukan kerana antara terbaik di negara mereka.

“Ia juga berbaloi untuk mendapatkan khidmat mereka kerana gaji yang ditawarkan berpatutan dan tidak terlalu tinggi seperti sesetengah pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga BolaSepak Malaysia (MFL) hari ini. 

Sathianathan berkata pemain dari negara Sebarang Tambak itu menjadi pilihan paling mudah berbanding mendapatkan pemain skuad kebangsaan dari negara lain seperti Vietnam,Thailand atau Myanmar.

"Kalau kita hendak harapkan pemain utama Vietnam atau Thailand datang ke sini mungkin sukar kerana gaji yang diminta agak tinggi selain pelbagai permintaan lain.

"Malah, budaya serta bahasa mereka juga jauh berbeza dengan Malaysia di tambah pula faktor kurang minat untuk mereka tidak datang ke sini," katanya.




Media sebelum ini melaporkan pemain Singapura menguasai carta import kuota ASEAN dengan lima pemain menjadi pilihan pasukan dalam saingan Liga Super.

Antara faktor yang menarik perhatian Sathianathan mengenai pemain import Singapura, kebanyakan mereka mempunyai personaliti serta keterampilan cukup baik di samping berdisiplin selain bijak dalam membina hubungan dengan peminat dan media. 

Selangor pada musim ini turut menggunakan seorang pemain import Singapura, Safuwan Baharudin, bagi mengisi kuota ASEAN.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen