Peluang terbaik pemain tingkat keamatan latihan -- Brendan 

Oleh Bernama 20 Julai 2020 125
Peluang terbaik pemain tingkat keamatan latihan -- Brendan 
Pemain tengah Selangor, Brendan Gan, menyifatkan permulaan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini sebagai medan terbaik pasukan tempatan untuk mempertingkatkan intensiti latihan bagi menghadapi aksi lebih kompetitif selepas ini.

Pemain kelahiran Australia itu mengakui keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih tarikh berkenaan turut membolehkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, melakukan perancangan awal sebelum Malaysia berdepan Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada 2 Oktober ini.

MFL sebelum ini berhasrat menyambung semula saingan Liga-M 2020 pada 1 September, namun mengambil keputusan menganjurkannya lebih awal, 26 Ogos depan, selepas mendapat persetujuan ahli lembaga pengarah mereka.

“Tarikh 26 Ogos ini tidak banyak berbeza daripada 1 September, jadi saya rasa perbezaan selama lima hari ini boleh diterima serta tidak terlalu mengganggu apa yang sudah dirancang oleh pasukan.

“Sebenarnya di peringkat ini, saya dan pemain lain sudah kena tingkatkan kerja keras dalam latihan kerana tempoh yang tinggal hanya sebulan sahaja lagi.

“Kebenaran untuk bermain dalam aksi persahabatan juga bagi saya sesuatu yang baik bagi memastikan semua 25 pemain dalam pasukan mampu bersedia dan mendapatkan kecergasan yang diperlukan dalam perlawanan kompetitif,” kata Brendan dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

Pemain tengah kebangsaan itu turut menganggap jadual liga yang padat tidak mendatangkan masalah bagi kebanyakan pemain tempatan yang sudah biasa mengharungi situasi seperti itu.

“Bukan sesuatu yang menakutkan atau bimbang untuk bermain dua kali seminggu membabitkan aksi pada pertengahan minggu kerana situasi ini sebenarnya bukan asing kepada majoriti pemain.

“Sebelum ini, jika ada aksi Piala FA dalam musim yang biasa, saya telah berdepan situasi sebegini apabila terpaksa menempuh jadual yang ketat dan saya sentiasa positif menerima apa jua keadaan, ”jelas Brendan yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan termasuk Sabah, Kelantan dan Perak.

MFL sebelum ini mengumumkan Liga-M 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Pasukan Liga Super dan Liga Perdana dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos ini, sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga 1 Ogos.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen