Harapan pasukan PKNS FC untuk meneruskan cabaran dalam kempen Liga Super kembali bersemarak selepas skuad itu kini secara rasmi menjadi Ahli Gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS).

Menurut Presiden PBSMS, Firdaus Mohamed, pihaknya tidak meragui hasrat dan kemampuan PKNS FC yang dianggap "sirih pulang ke gagang" apabila mereka menyertai PBSMS.

Satu mesyuarat khas diadakan semalam, di mana semua Ahli Gabungan PBSMS sebulat suara menerima permohonan berkenaan.

Ia sekali gus menjadikan PKNS FC sebagai ahli gabungan ke-10 yang bernaung di bawah PBSMS.

Menurut Firdaus, permohonan itu turut mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM).

Jelasnya, pendaftaran pasukan PKNS FC di bawah PBSMS telah pun dibuat hari ini untuk mencerahkan laluan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“PKNS telah mengemukakan pendaftaran kepada PBSMS untuk terus bersaing dalam Liga Super musim 2017,” ujar Firdaus.

Kedudukan PKNS FC sebelum ini menimbulkan persoalan selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) enggan menerima mereka sebagai ahli gabungan badan berkenaan.

Situasi itu mengakibatkan PKNS FC terpaksa mencari sokongan daripada persatuan lain, dengan tempoh akhir diberikan sehingga Jumaat ini oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.